Tahun 1 Umur Enam Tahun: KPM Terus Libat Urus, Fadhlina Tegaskan Tiada Paksaan

BAYAN BARU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan sesi libat urus bersama pengusaha tadika dan prasekolah swasta serta ibu bapa bagi memperjelaskan isu berkaitan cadangan kemasukan murid ke Tahun 1 pada usia enam tahun bermula 2027.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian sentiasa terbuka menerima pandangan dan kebimbangan yang dibangkitkan, termasuk daripada pengusaha tadika swasta yang masih mempunyai persoalan terhadap beberapa aspek pelaksanaan dasar berkenaan.

Menurut beliau, sekiranya masih terdapat perkara yang belum dirungkai, KPM bersedia mengadakan sesi susulan bagi memastikan setiap isu dapat dijelaskan secara menyeluruh.

“Kita amat prihatin terhadap segala pandangan yang dikemukakan. Jika ada lagi perkara berbangkit, kita akan teruskan sesi libat urus ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Madani Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Wisma PKR, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan KPM telah mengadakan perbincangan bersama pengusaha tadika swasta bagi memperincikan strategi pelaksanaan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun 1 selaras dengan pengenalan kurikulum baharu persekolahan bermula 2027.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut merakamkan penghargaan kepada pengusaha tadika yang menyatakan sokongan terhadap aspirasi kementerian, sambil menegaskan bahawa dasar berkenaan adalah bersifat pilihan dan bukan mandatori.

“Ibu bapa yang merasakan anak mereka telah bersedia boleh memilih untuk memasuki Tahun 1 pada usia enam tahun. Bagi yang lain, kekal seperti sedia ada,” jelasnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa prasekolah di sekolah kerajaan akan terus menerima kanak-kanak berusia enam tahun seperti biasa, khususnya bagi ibu bapa di luar bandar yang bimbang tentang kesediaan anak-anak mereka.

Tegasnya, sesi libat urus akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai komitmen KPM memastikan dasar yang diperkenalkan dapat difahami dan diterima baik oleh seluruh masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles