Rafizi Dakwa Bakal Diserbu SPRM, Tegas Tidak Gentar Hadapi Siasatan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa beliau menerima maklumat dalaman bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka melancarkan serbuan terhadapnya dalam masa terdekat.

Menurutnya, maklumat itu diperoleh pagi tadi susulan laporan yang dibuat oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu termasuk Perkasa dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Beliau berkata, SPRM juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan lanjut akan diambil berhubung laporan berkenaan.

Rafizi menegaskan beliau tidak terkejut dengan perkembangan tersebut dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan, termasuk tindakan penguatkuasaan.

“Saya sudah melalui pengalaman digari dan ditahan sebelum ini. Jika itu harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan pendirian, saya bersedia,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau turut mendakwa taktik intimidasi dan pembukaan kes bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dialaminya di bawah pentadbiran terdahulu.

Bagaimanapun, beliau yakin kebenaran akhirnya akan terserlah dan rakyat akan membuat penilaian sendiri.

Dalam masa sama, Rafizi menegaskan beliau akan terus mendesak agar dakwaan berkaitan SPRM disiasat secara bebas dan telus, sambil menyifatkan tanggungjawab menyuarakan isu tersebut sebagai amanah kepada rakyat.

BBerkaitan

Latest articles