KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau bersedia disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti isu pemilikan saham yang dikaitkan dengannya.
Dalam kenyataan tegas hari ini, Azam menekankan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan semua pengisytiharan harta serta kewangan telah dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam melalui saluran rasmi yang ditetapkan.
“Saya mengalu-alukan proses yang telus, bebas dan objektif untuk menentukan fakta berdasarkan bukti serta prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja penting bagi mempertahankan integriti peribadinya, malah bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap SPRM terus terpelihara sebagai institusi penguatkuasaan utama negara.
Azam turut menegaskan bahawa setiap individu yang berdepan dakwaan wajar bersikap terbuka dan bersedia melalui proses siasatan bebas.
Katanya, prinsip akauntabiliti tidak boleh diamalkan secara terpilih atau bermusim.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa tiada siapa kebal daripada undang-undang, namun tiada juga individu yang patut dihukum hanya berdasarkan persepsi atau naratif media tanpa proses siasatan yang sah.
Sepanjang perkhidmatannya, Azam berkata beliau kekal komited kepada ketelusan dan akauntabiliti serta akan memberi kerjasama penuh kepada sebarang mekanisme sah yang diwujudkan untuk meneliti isu berkenaan.










