PUTRAJAYA: Lima individu termasuk Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Majistret Ezrene Zakariah membenarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah serta seorang penolong pegawai JAS sehingga Khamis depan. Seorang lagi suspek awam pula direman selama tiga hari sehingga Ahad ini.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi pendengaran permohonan reman selepas ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berprofil tinggi itu.
Keempat-empat pegawai JAS terbabit kelihatan memakai pakaian lokap berwarna oren dan bergari ketika tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 9 pagi, diiringi pegawai SPRM.
Semalam, media melaporkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS ditahan sekitar jam 6.30 petang selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Sumber memaklumkan, siasatan agensi antirasuah itu kini tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Penahanan berkenaan disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang berkata, kesemua suspek disiasat mengikut peruntukan Akta SPRM 2009.










