PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini secara rasmi memulakan siasatan susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) dengan menghantar lapan pegawai penyiasat ke ibu pejabat institusi itu bagi meneliti pelbagai dokumen berkaitan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tindakan itu diambil susulan saranan Perdana Menteri supaya agensi penguat kuasa menjalankan siasatan berdasarkan dapatan yang terkandung dalam laporan RCI yang baru didedahkan kepada umum.
Menurut beliau, pasukan penyiasat telah memulakan proses mengenal pasti dokumen yang mempunyai kaitan dengan penemuan RCI, selain meneliti bahan yang boleh membantu siasatan dijalankan secara menyeluruh.
“Pada masa sama, kami sedang mengenal pasti individu yang perlu dipanggil untuk dirakam percakapan. Senarai itu akan disaring dan diklasifikasikan terlebih dahulu sebelum mereka dipanggil mengikut keperluan siasatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju mengelaskan semula laporan RCI berhubung TH bagi membolehkan ia didedahkan kepada orang ramai, selain mengarahkan badan penguat kuasa meneruskan siasatan berdasarkan syor dan dapatan yang dikemukakan.
Laporan tersebut mengandungi 25 cadangan penambahbaikan, dengan kira-kira 75 peratus daripadanya dilaporkan telah dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi TH. Prestasi institusi itu turut menunjukkan pemulihan apabila berjaya mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
Sehubungan itu, SPRM menubuhkan satu pasukan khas bagi menyemak keseluruhan laporan RCI menggunakan peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) atau Akta 613.
Dalam kenyataan sebelum ini, SPRM memaklumkan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Mohd Hafaz Nazar dilantik mengetuai pasukan khas berkenaan bagi meneliti sebarang unsur rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, pemalsuan dokumen dan pengubahan wang haram yang mungkin timbul daripada dapatan RCI.
Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, siasatan tidak tertumpu kepada mana-mana tempoh tertentu, sebaliknya akan bergantung kepada penemuan dan syor yang terkandung dalam laporan tersebut.
Beliau menegaskan, fokus utama siasatan adalah untuk menentukan sama ada berlaku unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan, selain mendapatkan semua dokumen berkaitan bagi tujuan analisis dan penyediaan rumusan siasatan.
“Mana-mana dokumen yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan akan diperoleh dan diteliti bagi melengkapkan hasil siasatan,” katanya.
Ketika ditanya sama ada bekas pimpinan tertinggi TH akan dipanggil memberi keterangan, Abd Halim menjelaskan tiada mana-mana individu dikecualikan daripada siasatan.
“Sesiapa sahaja yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan akan dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya.










