KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim tidak dapat berangkat ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2026 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini selepas dinasihatkan berehat bagi menjalani rawatan susulan masalah kesakitan musculoskeletal yang dialami Baginda.
Menerusi kenyataan Istana Negara pada Jumaat, Sultan Ibrahim sedang menjalani rawatan susulan bagi kesakitan melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.
Menurut kenyataan itu, pakar perubatan menasihatkan Seri Paduka Baginda supaya berehat terlebih dahulu bagi memberi ruang kepada proses pemulihan sebelum meneruskan rawatan susulan.
“Justeru, Seri Paduka Baginda tidak berangkat ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya yang berlangsung hari ini (31 Julai),” menurut kenyataan berkenaan.
Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan Negara 2026 berlangsung pada sebelah pagi dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut menghadiri istiadat itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Sebelum ini, Istana Negara memaklumkan keadaan kesihatan Sultan Ibrahim dipantau rapi oleh pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan Baginda berjalan lancar.










