SERI MENANTI – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Seri Menanti, Datuk Seri Megat Shahriman, mencadangkan pelaksanaan Inisiatif Rangkaian Produk Pertanian bagi membantu penduduk tempatan memasarkan hasil tanaman mereka.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebooknya, beliau berkata Pasar Segar Seri Menanti sebagai pusat pengumpulan dan penjualan produk pertanian yang dihasilkan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, inisiatif itu dapat menyediakan rangkaian pemasaran yang lebih tersusun, termasuk menghubungkan petani dengan peraih atau pemborong bagi memastikan hasil pertanian mereka dapat dipasarkan.
Beliau berkata, ramai penduduk memiliki tanah pusaka yang berpotensi diusahakan untuk kegiatan pertanian, namun berdepan kesukaran mendapatkan pembeli.
Ketiadaan ekosistem pemasaran yang teratur, katanya, menyebabkan sebahagian penduduk kurang yakin untuk mengusahakan tanaman secara lebih serius kerana bimbang hasil pertanian mereka tidak dapat dijual.
“Insya-Allah, jika diberikan kemenangan oleh pengundi, saya akan berusaha mendapatkan peraih atau pemborong yang boleh membeli hasil tanaman dari seluruh kawasan Seri Menanti,” katanya.
Megat Shahriman turut mencadangkan pewujudan pasar raya, kedai borong, pasar borong atau pusat jualan setempat bagi memasarkan hasil pertanian penduduk. Produk berkenaan juga akan dipasarkan ke kawasan lain untuk memperluas jaringan jualannya.
Menurutnya, langkah itu dapat memberikan keyakinan kepada penduduk untuk mengusahakan pelbagai jenis tanaman, termasuk cili, tanpa terlalu bimbang mengenai masalah mendapatkan pembeli.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengurangkan jumlah tanah pusaka terbiar dengan menggalakkan pemiliknya memanfaatkan tanah berkenaan bagi kegiatan pertanian.
Selain tanaman makanan, beliau mencadangkan pengeluaran pelet makanan ternakan untuk lembu, ayam dan ikan sebagai satu lagi kegiatan ekonomi yang berpotensi dibangunkan di Seri Menanti.
Katanya, usaha tersebut diharap dapat menjana pendapatan kepada penduduk yang berminat menceburi bidang agrotani dan agrobisnes.
“Insya-Allah, doakan. Potensi Seri Menanti ini sangat tinggi, tuan-tuan,” katanya.










