Lagi Pegawai Kanan ATM Didakwa Di Mahkamah Berkaitan Pecah Amanah RM5 Juta

KUALA LUMPUR: Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Khamis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) berjumlah RM5 juta.

Bagaimanapun, Mohamed Fauzi, 56, menafikan pertuduhan itu sebaik ia dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan memilih untuk dibicarakan.

“Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya ketika berada di kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Fauzi yang ketika itu memegang jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan meluluskan pelaburan tambahan berjumlah RM5 juta ke dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kebenaran Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Perbuatan tersebut didakwa berlaku di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 27 November 2023.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta denda.

Terdahulu, Mohamed Fauzi tiba di perkarangan mahkamah dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenakan sut biru gelap, beliau dilihat tenang dan sempat menyapa wakil media dengan senyuman sambil bertanya khabar sebelum memberi tabik hormat ringkas ketika melangkah masuk ke bilik mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles