JEMPOL: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan menggerakkan jentera bagi membantu kempen semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus memperkukuh kerjasama antara kedua-dua gabungan sepanjang tempoh berkempen.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama itu bersifat timbal balik apabila BN turut akan membantu kempen calon-calon PN sepanjang tempoh kempen selama dua minggu.
Beliau berkata, perkembangan itu mencerminkan semangat kerjasama yang positif dengan matlamat utama memastikan kepimpinan Melayu dan Islam terus menerajui Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, ia menunjukkan satu prestasi sangat baik. Semangatnya sangat baik, khususnya kerjasama dengan BN. Yang penting kita pastikan kuasa Melayu, Islam memimpin di Negeri Sembilan.
“Kita akan saling bekerjasama dalam kempen. Insya-Allah, mereka (BN) akan berkempen di kawasan kita dan kita (PN) akan berkempen di kawasan mereka,” katanya kepada media selepas menghadiri proses penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama antara PN dan BN dimuktamadkan untuk tempoh lebih panjang, Abdul Hadi menegaskan perkara itu akan ditentukan berdasarkan perkembangan semasa.
Menurutnya, kedua-dua pihak sejak awal bersetuju supaya tidak terburu-buru membuat keputusan dan akan menilai keberkesanan kerjasama tersebut dari semasa ke semasa.
“Kita dimaklumkan daripada awal mengenai kerjasama PN dan BN. Kita tidak gopoh, kita akan melihat dari semasa ke semasa. Insya-Allah, kita tengok keputusan selepas ini,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi hadir mengiringi calon PN yang juga penyandang kerusi DUN Serting, Fairuz Isa, bersama beberapa pimpinan gabungan termasuk Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pada PRN kali ini, Fairuz akan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Yaacob Mahmood dan calon Bersatu, Muhammad Noraffendy Mohd Salleh.










