JELEBU: Pertembungan membabitkan dua sepupu bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang mencuri tumpuan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, hari ini.
Kerusi itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan penyandang daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Bakri Sawir, yang dicabar sepupunya sendiri, Danni Rais mewakili Perikatan Nasional (PN), serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Adib Musa.
Senarai calon itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jelebu, Abdul Rahim A. Aziz, sebaik tempoh penamaan calon berakhir pada jam 10 pagi.
Selain DUN Klawang, dua lagi kerusi di bawah Parlimen Jelebu turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Di DUN Pertang, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan berdepan calon PH, Mohd Umry Abdul Khois, serta calon Bersatu, Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus.
Sementara itu, DUN Sungai Lui turut menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan calon BN, Datuk Mohd Razi Mohd Ali; calon PH, Zainal Fikri Abd Kadir; dan calon Bersatu, Mazrulhisham Abd Mansor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan, manakala tempoh berkempen bermula hari ini sehingga 11.59 malam, 31 Julai.










