PORT DICKSON: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini, sekali gus meninggalkan kubu tradisinya di DUN Sikamat.
Keputusan Naib Presiden PKR itu dilihat sebagai langkah berani apabila memilih untuk bertanding di kawasan yang sejak sekian lama dianggap kubu kuat UMNO.
Di DUN Linggi, Aminuddin bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli, serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zamri Said.
Aminuddin, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan selama dua penggal, sebelum ini mewakili DUN Sikamat selama empat penggal berturut-turut, iaitu kawasan yang sinonim sebagai antara kubu kuat PH di negeri itu.
Beliau berkata, keputusan untuk bertanding di DUN Linggi dibuat atas kehendaknya sendiri dan bukan atas desakan mana-mana pihak.
Sebagai rekod, DUN Linggi terletak di bawah Parlimen Port Dickson yang kini diwakili Aminuddin selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
Sejak mula dipertandingkan pada 1959, DUN Linggi hampir keseluruhannya dikuasai UMNO, kecuali bagi penggal 1971 hingga 1974 apabila kerusi itu dimenangi DAP.
Pada PRN 2023, Mohd Faizal mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket BN dengan majoriti 1,461 undi selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), ketika BN dan PH masih menjalinkan kerjasama politik.
Bagaimanapun, senario PRN kali ini berbeza apabila BN membentuk kerjasama dengan PN, manakala PH memilih bertanding secara bersendirian di semua 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.
DUN Linggi mempunyai komposisi pengundi majoriti Melayu sebanyak 60 peratus, diikuti masyarakat India (17.9 peratus), Cina (17.5 peratus) dan Orang Asli (1.4 peratus).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan.










