Hadi Tak Datang Mesyuarat Di Rumah Muhyiddin, Hala Tuju PN Jadi Tanda Tanya

KUALA LUMPUR: Ketidakhadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada pertemuan pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) di kediaman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi, mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan gabungan itu.

Semua presiden parti komponen PN dilaporkan hadir ke pertemuan tertutup di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara, kecuali Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Antara pemimpin parti yang dilihat memasuki kediaman Muhyiddin ialah Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan serta Presiden Gerakan, Dominic Lau.

Sumber dalaman PN mengesahkan ketiadaan Presiden Pas itu, namun sebab beliau tidak menghadirkan diri ke pertemuan berkenaan tidak dinyatakan setakat ini.

BH melaporkan menurut sumber sama, ketidakhadiran Abdul Hadi dilihat seolah-olah memberi isyarat awal wujudnya pergeseran serius, malah tidak menolak kemungkinan Pas sedang mempertimbangkan haluan berbeza dalam PN.

Pertemuan berkenaan diadakan atas jemputan Muhyiddin sebagai perbincangan awal susulan pembatalan mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang sepatutnya berlangsung malam ini.

Difahamkan, sesi tertutup yang bermula sekitar jam 8.30 malam itu bertujuan membincangkan hala tuju gabungan sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang secara rasmi.

Punithan ketika ditemui media di luar kediaman Muhyiddin menegaskan pertemuan itu hanyalah perbincangan dalaman melibatkan presiden-presiden parti komponen.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi PN telah dibatalkan, jadi malam ini kami mengadakan perbincangan sesama presiden parti bagi menentukan langkah ke hadapan PN,” katanya.

Sumber turut memaklumkan perbincangan berkenaan dijangka berakhir sekitar jam 11 malam.

Pertemuan ini dilihat penting memandangkan Muhyiddin sebelum ini telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, dan proses pengesahan peletakan jawatan serta pelantikan pengganti dijangka dibincangkan dalam Majlis Tertinggi PN akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini mengesahkan wujudnya mesyuarat awal sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang bagi memuktamadkan perkara tersebut.

Sebelum ini, pembatalan mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN pada saat akhir turut dilaporkan sebagai kemuncak kepada kemelut jawatan Pengerusi PN, khususnya melibatkan perbezaan pendirian antara BERSATU dan Pas.

BBerkaitan

Latest articles