JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan cubaan menghidupkan semula ajaran Ahmadi Religion yang telah difatwakan sebagai sesat, selepas bahan promosi kumpulan berkenaan ditemui dipamerkan di kawasan awam sekitar Muar baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan segera telah diambil termasuk menurunkan poster dan banner yang mempromosikan ajaran tersebut.
Menurut beliau, penyebaran fahaman Ahmadi Religion jelas bercanggah dengan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan rasmi umat Islam di Johor.
“JAINJ tidak akan berkompromi dalam soal akidah. Pemantauan berterusan sentiasa dilakukan terhadap sebarang aktiviti, penerbitan atau bahan promosi yang berkait dengan ajaran sesat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau menegaskan, pihak berkuasa agama memandang serius sebarang cubaan menyebarkan ajaran yang telah difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan Islam.
Sehubungan itu, umat Islam khususnya di Johor diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana ajaran yang bercanggah serta telah diputuskan sesat oleh pihak berautoriti agama.
Mohd Fared turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat atau membuat laporan sekiranya mengesan sebarang aktiviti berkaitan ajaran sesat kepada pejabat kadi daerah berhampiran atau melalui saluran rasmi JAINJ.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keharmonian agama dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.










