MPPN sokong usaha KPDN perkukuh larangan pembelian RON95 oleh kenderaan asing

KUALA LUMPUR, 29 Jan 2026 — Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyokong penuh langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang merangka peraturan baharu bagi memperkukuh larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berdaftar asing di stesen minyak di seluruh negara.

Pengerusinya, Mohd Khair Ngadiron, berkata langkah itu penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang diperuntukkan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia, selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.

Beliau berkata MPPN mengambil maklum penjelasan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A ketika ini hanya melibatkan larangan terhadap penjualan, sekali gus membolehkan tindakan diambil ke atas stesen minyak sahaja.

“Sehubungan itu, cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang meliputi larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga pembelian merupakan langkah wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi,” katanya.

MPPN turut menegaskan bahawa penyaluran subsidi tanpa kawalan berkesan boleh membuka ruang kepada ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak tidak layak serta meningkatkan beban fiskal yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik.

Menurut kenyataan itu, langkah penguatkuasaan baharu juga dilihat sebagai usaha strategik bagi memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan.

Sebagai badan penasihat utama kepada kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN berkata ia akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi serta meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.

MPPN turut menggalakkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.

BBerkaitan

Latest articles