KUALA LUMPUR: Pemuda PKR berpandangan Pakatan Harapan (PH) perlu menilai semula hubungan politiknya dengan Barisan Nasional (BN) susulan dakwaan wujud percaturan politik yang boleh menggugat kestabilan negara.
Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim berkata, ketika negara berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan global, semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pentadbiran serta memulihkan ekonomi, bukannya mengutamakan kepentingan politik.
Menurut beliau, pihaknya tidak melihat kejujuran yang sewajarnya ditunjukkan oleh BN dalam memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
“Dalam situasi semasa, fokus sepatutnya diberikan kepada usaha mengukuhkan ekonomi negara. Namun, apa yang berlaku ialah krisis dimanfaatkan untuk mengatur percaturan politik yang lebih mengutamakan kepentingan kelompok dan individu tertentu,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia ketika ditemui di Padang Rengas.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan BN merancang kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, walaupun pada masa sama gabungan itu bersedia berdepan PH dalam pilihan raya berkenaan meskipun kedua-duanya membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
PRN Negeri Sembilan juga menjadi medan kedua menyaksikan pertembungan secara langsung antara PH dan BN selepas Pilihan Raya Negeri Johor yang berlangsung sebelum ini.
Mengulas lanjut, Kamil berkata, amalan membentuk kerjasama politik berasaskan kepentingan jangka pendek hanya akan mencetuskan ketidaktentuan politik, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan memfokuskan kepada agenda pembangunan negara.
Ditanya mengenai kemungkinan PH membuka ruang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau menegaskan semua parti politik, termasuk PAS dan Parti Wawasan Negara, perlu mengetepikan percaturan yang boleh mengganggu pentadbiran negara.
Katanya, setiap parti perlu memainkan peranan secara bertanggungjawab bagi memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat menerajui pentadbiran negara dengan lancar tanpa gangguan politik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.










