Gadis Rohingya Didakwa Bunuh Bayi Baru Lahir, Berdepan Hukuman Mati

JOHOR BAHRU: Seorang gadis etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan membunuh bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkannya awal bulan ini.

Tertuduh, Nor Aishahkila Hussein, 19, hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian bayi berkenaan dengan mencampakkannya melalui tingkap sebuah bilik hotel sehingga mangsa terjatuh ke lorong di bawah bangunan.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah hotel di tingkat dua, Jalan Idaman 9/1, Business Presint 8, Taman Nusa Idaman, sekitar jam 1.28 pagi pada 5 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan dan hukuman mati tidak dikenakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Majistret turut mengarahkan wanita itu ditahan di Penjara Simpang Renggam, Kluang sehingga tarikh sebutan semula kes yang ditetapkan pada 18 September depan.

BBerkaitan

Latest articles