KUALA LUMPUR: Tindakan Barisan Nasional (BN) memperuntukkan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada ‘rakan kerjasama’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan didakwa mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan dan akar umbi UMNO, terutama mereka yang sudah lama membuat persiapan untuk bertanding.
Sumber pimpinan UMNO bahagian mendakwa terdapat beberapa pemimpin yang sudah ‘pasang badan’ sebagai bakal calon selepas sekian lama berkhidmat di kawasan masing-masing, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila kerusi yang diharapkan diserahkan kepada parti lain dalam kerjasama BN-PN, termasuk Parti Wawasan Negara (WAWASAN).
Menurutnya, keputusan itu menimbulkan kekecewaan kerana mereka merasakan jasa dan pengorbanan selama bertahun-tahun dalam parti seolah-olah tidak dihargai.
“Ada dalam kalangan pimpinan bahagian yang sudah bersedia untuk bertanding kerana telah lama berjuang bersama UMNO serta bekerja di bahagian masing-masing. Namun akhirnya mereka tidak berpeluang menjadi calon apabila kerusi terbabit diberikan kepada rakan kerjasama.
“Sudah tentu mereka berasa kecewa kerana peluang yang dinanti-nantikan terlepas begitu sahaja,” katanya kepada Berita Harian.
Sumber itu turut mempersoalkan keputusan pucuk pimpinan yang didakwa lebih mengutamakan parti lain berbanding pemimpin bahagian sendiri, sedangkan penyelaras dan jentera UMNO telah lama bekerja di kawasan DUN terbabit serta mengenali pengundi.
Beliau menyifatkan tindakan itu seolah-olah menafikan sumbangan pemimpin tempatan yang selama ini menjadi tulang belakang parti, sebelum peluang bertanding diberikan kepada individu daripada parti lain, termasuk yang baru mendapat kelulusan pendaftaran.
“Orang UMNO sudah lama bekerja di kawasan dan membina hubungan dengan pengundi, tetapi akhirnya orang lain pula datang untuk menikmati hasilnya.
“Ia seperti membawa masuk orang luar ke dalam rumah sendiri sedangkan ahli parti yang setia berjuang diketepikan,” katanya.
Menurut sumber berkenaan, isu itu turut menyentuh soal maruah UMNO-BN yang sebelum ini menguar-uarkan hasrat bergerak secara solo pada PRN Negeri Sembilan.
Beliau mendakwa momentum sokongan rakyat ketika ini dilihat memihak kepada UMNO-BN untuk kembali mentadbir negeri itu, justeru tindakan menyerahkan beberapa kerusi kepada parti yang baharu muncul dianggap tidak wajar.
Malah, beliau mendakwa bantahan terhadap keputusan itu bukan sahaja datang daripada akar umbi UMNO, malah terdapat juga ahli PAS yang dikatakan kurang bersetuju dengan penyertaan WAWASAN dalam kerjasama berkenaan.
Menurutnya, ahli UMNO lebih bersedia menjalin kerjasama dengan PAS berbanding menerima penyertaan WAWASAN, yang didakwa turut bercanggah dengan persefahaman awal.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terlalu awal untuk menentukan sama ada rasa tidak puas hati itu akan memberi kesan terhadap peluang BN dan PN mengekang kemaraan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Negeri Sembilan.
Kelmarin, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan 25 calon BN bagi PRN Negeri Sembilan, manakala baki 11 kerusi akan diumumkan selepas dimuktamadkan menerusi persefahaman dengan “kawan yang boleh dipercayai”.
Sebelas kerusi terbabit ialah Klawang, Serting, Lobak, Sikamat, Ampangan, Bukit Kepayang, Mambau, Paroi, Lukut, Bagan Pinang dan Gemas.
Malam tadi, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula mengumumkan senarai 11 calon gabungan itu, sekali gus melengkapkan kerjasama pilihan raya antara PN dan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan ke-16.










