Rayuan Gagal, Da’i Syed Dipenjara 10 Tahun, Tiga Sebatan Bermula Hari Ini

KUALA LUMPUR: Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed, diperintah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun termasuk tiga sebatan terhadapnya bagi kes rogol yang berlaku tujuh tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Adlin Abdul Majid selepas menolak rayuan tertuduh, yang memohon supaya sabitan serta hukuman berkenaan diketepikan selain meminta penangguhan pelaksanaan hukuman.

Menurut hakim, pembelaan yang dikemukakan tertuduh hanyalah berbentuk penafian semata-mata dan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Tiada alasan khas untuk menangguhkan hukuman. Kesalahan ini adalah serius dan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini adalah selamat. Oleh itu, hukuman penjara bermula hari ini,” katanya.

Sebelum ini, pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas Syed Shah Iqmal selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang wanita.

Tertuduh berusia 31 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang wanita berusia 23 tahun ketika kejadian di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.

Bagaimanapun, pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen telah melepaskan dan membebaskannya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan dan pada 7 Mac 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan berkenaan serta mengarahkan tertuduh membela diri.

Selepas perbicaraan penuh dijalankan, mahkamah memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, sekali gus membawa kepada sabitan dan hukuman yang kini dikekalkan.

Syed Shah Iqmal didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles