KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai siapakah yang bakal menerajui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kini timbul susulan pengumuman rasmi mengenai tamatnya tempoh perkhidmatan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi agensi berkenaan.
FELDA dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Ahmad Shabery telah berakhir secara rasmi pada 30 Jun lalu.
Sepanjang menerajui organisasi berkenaan, beliau diakui telah menggerakkan pelbagai inisiatif penting bagi menyokong agenda pengukuhan serta transformasi menyeluruh FELDA.
”Ia merangkumi usaha memperkasakan tadbir urus korporat, membina kerjasama strategik, serta meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap FELDA,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Strategik FELDA hari ini.
Bagaimanapun, setakat ini pihak FELDA mahupun kementerian berkaitan belum mendedahkan nama pengganti atau calon baharu yang akan mengisi kerusi portfolio utama berkenaan.
“Pihak pengurusan bersama-sama seluruh warga FELDA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa, sumbangan, serta kepemimpinan cemerlang yang telah dicurahkan oleh Ahmad Shabery sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu turut menambah bahawa asas kukuh yang telah dibina sepanjang kepemimpinan beliau diharapkan akan terus memacu kemajuan serta kelestarian masa hadapan agensi pembangunan tanah negara itu.
Pelantikan pengerusi baharu FELDA sentiasa menjadi tumpuan ramai memandangkan agensi berkenaan memikul tanggungjawab besar dalam menjaga kebajikan ratusan ribu peneroka serta memacu kestabilan sosioekonomi luar bandar di seluruh negara.










