Anwar gesa DAP Melaka tangguh keputusan keluar kerajaan negeri, utamakan rundingan

PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap DAP Melaka mempertimbangkan semula keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan negeri dan memberi ruang kepada proses rundingan demi memastikan pentadbiran serta agenda pembangunan negeri tidak terjejas.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau telah mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurut Anwar, walaupun terdapat beberapa isu yang masih belum dipersetujui antara pihak terlibat, kerjasama dalam perkara berkaitan kepentingan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri perlu diteruskan.

“Saya tadi berbincang dengan Anthony Loke dan juga Ketua Menteri. Kalau boleh runding dulu supaya tangguh sekejap, supaya kita boleh buat kerja dengan soal negeri.

“Saya ingin pilihan raya dulu sebaiknya. Walaupun ada dua tiga perkara tidak bersetuju, tidak mengapa.

“Sekarang ini banyak benda kita tidak setuju sama-sama, tetapi dari segi dasar untuk pertumbuhan ekonomi dan rakyat kita teruskan. Jadi saya harap mereka pertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Midport Smart AI Container Port di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson, hari ini.

Terdahulu, DAP Melaka mengumumkan keputusan untuk keluar daripada kerajaan negeri Melaka berkuat kuasa serta-merta susulan kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pindaan itu membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan eksekutif.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, turut mengumumkan semua wakil parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.

BBerkaitan

Latest articles