DAP Melaka Dijangka Keluar Kerajaan Negeri, Letak Semua Jawatan Bantah ADUN Lantikan

MELAKA: DAP Melaka dilaporkan bakal membuat keputusan menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) serta melepaskan semua jawatan yang disandang susulan bantahan terhadap cadangan pindaan Perlembagaan Negeri bagi memperkenalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

Memetik laporan MalaysiaKini, pengumuman rasmi mengenai keputusan itu dijangka dibuat petang ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka selepas kerajaan negeri meneruskan usul pindaan perlembagaan berkenaan pada persidangan tengah hari.

Difahamkan, langkah tersebut akan menyaksikan semua wakil DAP yang memegang jawatan dalam pentadbiran negeri melepaskan kedudukan masing-masing, termasuk seorang Exco, dua Timbalan Exco, seorang Timbalan Speaker DUN, selain semua ketua kampung dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan yang dilantik di bawah kerajaan negeri.

Antara yang dijangka mengosongkan jawatan ialah Exco Negeri, Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco, Low Chee Leong dan Leng Chau Yen, serta Timbalan Speaker DUN Melaka, Kerk Chee Yee.

Laporan sama turut memaklumkan bahawa Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, telah membentangkan keputusan itu kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti pada Isnin malam dan difahamkan mendapat sokongan penuh daripada kepimpinan pusat.

Terdahulu, pada 11 Julai lalu, Allex menerusi hantaran di Facebook menegaskan DAP Melaka menolak cadangan mewujudkan ADUN lantikan kerana disifatkan tidak selari dengan prinsip demokrasi.

Beliau pada masa sama berikrar akan meletakkan jawatan sebagai Exco Negeri serta-merta sekiranya pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan ADUN lantikan diluluskan dengan majoriti dua pertiga pada persidangan DUN hari ini.

Sekiranya keputusan itu dimuktamadkan, ia bakal menjadi perkembangan penting dalam landskap politik Melaka apabila DAP tidak lagi menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui BN.

BBerkaitan

Latest articles