KUALA LUMPUR: Walaupun UMNO membuka pintu kepada bekas ahli untuk kembali, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu, Isham Jalil, menyatakan pendiriannya kekal tidak akan menyertai semula UMNO selagi parti tersebut bekerjasama dengan DAP.
Baginya, kerjasama itu telah mengubah wajah UMNO sehingga disindir sebagai “UMDAP”, satu keadaan yang menurutnya turut ditolak oleh ramai ahli UMNO sendiri.
“Ahli UMNO tulen pun ramai yang tidak setuju UMNO jadi UMDAP. Saya pula dipecat kerana lantang menentang perkara ini. Jadi, siapa yang selesa dengan kerjasama itu, teruskanlah, tapi jangan ajak saya,” katanya.
Isham dikeluarkan daripada UMNO pada 7 Disember 2023 selepas berulang kali mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan parti secara terbuka.
Antara tindakan yang membawa kepada pemecatannya termasuk mendesak presiden meletak jawatan, mencabar untuk berdebat, melabel kepimpinan sebagai “barua DAP” serta gagal menghadiri mesyuarat parti.
Sementara itu, UMNO kini menerima banyak permohonan daripada bekas ahli yang mahu kembali. Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Namun, beliau menjelaskan bahawa permohonan rasmi daripada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, masih belum diterima.
Dalam masa sama, Presiden UMNO menyatakan kesediaan parti menerima semula mana-mana individu atau kumpulan secara beramai-ramai, namun bagi Isham, pintu itu belum boleh dibuka selagi UMNO terus berganding dengan DAP.










