“Merajuk Itu Biasa, Tapi Jangan Lama” – Zahid Ajak MCA, MIC Kembali Ke ‘Rumah Besar’

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan keras kepada parti komponen Barisan Nasional (BN), khususnya MCA dan MIC, supaya menghentikan sikap “merajuk” dan kembali memperkukuh gabungan yang sudah dibina lebih lima dekad.

Berucap dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Zahid mengakui hubungan sesama parti ibarat adik-beradik yang tidak lari daripada perselisihan, namun tidak wajar sampai memutuskan ikatan.

“Merajuk itu biasa, tapi jangan lama. Baliklah ke rumah besar ini. Kita rakyat Malaysia, kita sahabat dalam BN,” katanya disambut sorakan gemuruh perwakilan di Dewan Merdeka.

Zahid menegaskan penyertaan UMNO dalam kerajaan perpaduan dibuat demi kestabilan negara, namun mengakui keputusan itu mencetuskan ketegangan dalam BN yang diasaskan bersama UMNO, MCA dan MIC sejak 51 tahun lalu.

“Demi kepentingan negara, kita masuk kerajaan perpaduan. Tapi ia juga menyebabkan hubungan dalam BN retak. Ada yang rasa tersisih, ada yang merajuk, malah ada yang pandang ke arah gabungan lain,” katanya.

Beliau menyindir pihak yang mempertimbangkan keluar gabungan hanya kerana terasa hati.

“Lidah lagi tergigit, inikan pula adik-beradik. Jangan kerana kecil hati, terus mahu tinggalkan rumah yang kita bina bersama,” tegasnya.

Sebelum ini, laporan media mendakwa sebahagian akar umbi MCA tidak lagi selesa dalam BN dan menganggap gabungan itu tidak relevan kepada parti mereka, selain merasakan MCA dipinggirkan dalam kerajaan.

Namun, kepimpinan tertinggi MCA masih belum membuat keputusan rasmi.

Dalam perkembangan berkaitan, MIC juga berada di persimpangan.

Pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC November lalu, perwakilan bersetuju menangguhkan keputusan keluar atau kekal dalam BN, dengan semua usul dirujuk kepada Jawatankuasa Kerja Pusat.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan sebelum ini memaklumkan keputusan muktamad dijangka dibuat seawal Februari ini selepas sambutan Thaipusam, malah MIC dikatakan sudah menghubungi Perikatan Nasional (PN) untuk menilai kemungkinan menyertai gabungan itu.

Zahid menegaskan, BN hanya akan terus kuat jika semua parti komponennya berhenti merajuk, kembali duduk semeja dan mengutamakan semangat kebersamaan yang menjadi asas penubuhannya.

BBerkaitan

Latest articles