PAU2025: Anwar Ucap Selamat Bersidang, Seru UMNO Perkukuh Muafakat Demi Rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada pimpinan dan perwakilan UMNO, sambil mengingatkan bahawa masa depan negara tidak boleh digadaikan dengan perbalahan yang tidak berkesudahan.

Menerusi hantaran di media sosial, beliau berharap persidangan itu berlangsung secara tertib dan dipenuhi perbahasan bernas yang berpaksikan kepentingan rakyat serta mengukuhkan perpaduan nasional.

Menurut Anwar, dalam landskap politik dan ekonomi yang semakin mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipanaskan, sebaliknya melalui kesepaduan yang diperkukuh dan kebijaksanaan yang diraikan.

“Malaysia memerlukan politik yang matang dan berteras muafakat, untuk kita bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif,” katanya.

PAU 2025 menghimpunkan kira-kira 6,400 perwakilan daripada 191 bahagian yang berkampung di WTC bermula hari ini hingga Sabtu.

Perhimpunan itu akan membuka tirainya dengan perasmian serentak sayap UMNO di Dewan Merdeka WTC malam ini, yang dijadual disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

BBerkaitan

Latest articles