Anwar Tidak Akan Hubungi PM Singapura, Yakin Majikan Sudah Dimaklumkan Beri Pelepasan Mengundi PRN Johor

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berhasrat menghubungi rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong, bagi memohon kelonggaran khas kepada rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Menurut Anwar, hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura berada dalam keadaan baik, namun beliau berpegang kepada prinsip untuk tidak meminta mana-mana negara mencampuri urusan dalaman Malaysia, termasuk hal berkaitan proses pilihan raya.

“Hubungan kita dengan Singapura sangat baik dan banyak membantu pembangunan kedua-dua negara. Saya selalunya tidak meminta negara lain campur tangan dalam urusan negara kita, termasuk soal pengundian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan syarikat-syarikat di Singapura telah dimaklumkan mengenai berlangsungnya PRN Johor dan diminta memberi kelonggaran kepada pekerja warga Malaysia untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Dalam perkembangan sama, Anwar menjelaskan kenyataannya sebelum ini yang menggesa anak Johor yang bekerja di luar negeri, khususnya di Singapura, supaya pulang mengundi bukan bertujuan menegur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebaliknya, beliau menegaskan SPR sebagai badan bebas mempunyai kuasa sepenuhnya menentukan tarikh pilihan raya, manakala pandangannya hanya bersifat peribadi.

Menurutnya, ramai rakyat Johor yang bekerja di Singapura perlu bertugas pada Sabtu, termasuk bekerja separuh hari, menyebabkan Ahad dilihat lebih sesuai sebagai hari pengundian bagi menggalakkan kadar keluar mengundi yang lebih tinggi.

“Saya kurang bersetuju kerana apa juga langkah sepatutnya dilakukan bagi menggalakkan orang keluar mengundi. Itu pandangan peribadi saya, bukan campur tangan terhadap SPR,” katanya.

Sebelum ini, ketika berucap pada ceramah mega Pakatan Harapan di Ledang, Ahad lalu, Anwar membangkitkan kebimbangan mengenai penetapan tarikh PRN Johor pada pertengahan bulan yang disifatkan boleh menyukarkan pengundi yang berada di luar Johor atau di Singapura untuk pulang mengundi.

Beliau turut menggesa penyokong serta pengundi Pakatan Harapan, khususnya anak perantau Johor yang berada di luar negeri dan Singapura, supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian memandangkan kadar keluar mengundi bagi pilihan raya negeri lazimnya lebih rendah berbanding pilihan raya umum.

BBerkaitan

Latest articles