KUALA LUMPUR: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) dijangka tampil lebih gah dengan kehadiran empat pasukan pertunjukan udara (airshow) terkemuka dunia yang telah disenarai pendek untuk memeriahkan ruang udara pulau legenda itu, April depan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Malek Razak Sulaiman berkata, empat pasukan gergasi yang diundang tersebut adalah Black Eagles dari Korea Selatan, Al Fursan (Emiriah Arab Bersatu), Jupiter Aerobatic Team (Indonesia) dan Russian Knights (Rusia).
Menurut beliau, penglibatan jet-jet pejuang antarabangsa itu bagaimanapun masih tertakluk kepada pengesahan muktamad serta perkembangan situasi geopolitik semasa.
”LIMA sentiasa menjadi platform dinamik di mana teknologi bertukar menjadi perkongsian, dan idea berubah menjadi peluang,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian mewakili Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di ibu negara.
Mengulas lanjut mengenai skala penganjuran edisi ke-18 ini, Abdul Malek mendedahkan unjuran aset yang bakal dibawa masuk adalah sangat luar biasa meliputi 110 pesawat dan aset udara serta 90 kapal laut serta aset maritim.
Malah, segmen pameran perdagangan juga menunjukkan isyarat ‘laku keras’ apabila 40 peratus daripada keseluruhan ruang pameran LIMA’27 sudah pun ditempah oleh pemain industri tempatan dan global dalam tempoh seawal dua bulan pasca-pelancaran awal.
”Berdasarkan momentum semasa, LIMA’27 dijangka menyambut sehingga 930 syarikat pameran, iaitu peningkatan sekitar 15 peratus berbanding edisi sebelum ini.
”Kita juga menyasarkan kehadiran 60,000 pelawat perdagangan dan sehingga 400,000 pengunjung awam sepanjang lima hari acara berlangsung,” katanya lagi.
Selaras dengan keperluan pertahanan moden, LIMA’27 kali ini akan memberi tumpuan khusus kepada lapan segmen teknologi masa hadapan.
Antara yang menjadi tumpuan utama ialah teknologi pembangunan kapal autonomi dan pesawat tanpa pemandu (UAV/dron), keselamatan siber serta aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem pertahanan negara.
Sebagai usaha menyemarakkan debaran LIMA’27 dalam kalangan masyarakat, Kementerian Pertahanan (Mindef) bersama penganjur bersama, Global Exhibition and Conferences Sdn Bhd (GEC) bakal menganjurkan acara larian LIMA Run.
Acara pemanas badan tersebut dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober 2026 bertempat di Dataran DBKL, Kuala Lumpur bagi membolehkan orang ramai merasai aura LIMA’27 lebih awal sebelum acara sebenar bermula pada 20 hingga 24 April 2027 di Langkawi.










