Pelajar Didakwa Tikam Rakan Direman Empat Hari, Peguam Sahkan Suspek OKU Autisme

BANTING: Remaja lelaki berusia 15 tahun yang disyaki menikam rakan sekolahnya, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Banting, direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Perintah reman sehingga 10 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Majistret Telok Datok pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan perkara itu menerusi pesanan WhatsApp kepada media.

Dalam perkembangan sama, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Vijeswari Devi yang mewakili suspek memaklumkan anak guamnya merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) kategori autisme.

Terdahulu, suspek dibawa ke pekarangan Mahkamah Majistret Telok Datok dengan menaiki trak polis kira-kira pukul 8.08 pagi sebelum dilihat meninggalkan mahkamah sekitar sejam kemudian selepas prosiding reman selesai.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengesahkan pelajar lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden tikaman itu telah ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Menurut JPN Selangor, mangsa yang juga berusia 15 tahun sedang menerima rawatan di Hospital Banting akibat kecederaan yang dialaminya.

Bapa mangsa sebelum ini memaklumkan anak perempuannya mengalami kecederaan serius, termasuk kecederaan pada paru-paru serta 16 kesan tikaman pada beberapa bahagian badan.

BBerkaitan

Latest articles