Kritikan Saya Lawan, Soal Prinsip Saya Tak Berganjak – Dr Akmal

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan prinsip perjuangannya tidak akan berubah walau sedikit, meskipun berdepan kritikan dan peringatan daripada pimpinan tertinggi parti.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Dr Akmal menjelaskan beliau tidak mempunyai masalah untuk menerima atau berdepan sebarang kritikan, namun menegaskan pendiriannya berhubung prinsip perjuangan kekal utuh dan tidak boleh dikompromi.

“Kritikan dan prinsip adalah dua perkara berbeza. Saya tiada masalah untuk berdepan kritikan, malah melawannya. Tetapi prinsip saya tidak akan pernah berganjak walau seinci,” tegasnya.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan media mengenai peringatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa Pemuda UMNO, termasuk Dr Akmal, agar lebih terbuka menerima perbezaan pandangan serta berlapang dada terhadap kritikan walaupun tidak sehaluan.

Terdahulu, Zahid dilaporkan menasihatkan pemimpin parti supaya tidak mengambil jalan singkat apabila berdepan perbezaan pendapat, sebaliknya mengamalkan budaya politik matang dengan menerima kritikan secara terbuka.

Dr Akmal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan Exco Kerajaan Melaka, sebelum ini mencetuskan perhatian apabila menyuarakan kesediaan untuk berundur, tanpa memperincikan sama ada melibatkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO atau kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam hantaran terdahulu, beliau menyatakan kemungkinan sudah tiba masanya untuk berundur selepas berusaha sedaya upaya menyampaikan pendiriannya, sambil mengakui sebarang kekurangan mungkin berpunca daripada dirinya sendiri.

Kontroversi itu tercetus susulan Konvensyen Khas Pemuda UMNO minggu lalu, apabila Dr Akmal secara terbuka menggesa UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang, dengan alasan berlakunya pelanggaran berulang garis merah membabitkan isu 3R iaitu kaum, agama dan raja.

Bagaimanapun, Zahid semalam menegaskan pendirian parti bahawa UMNO akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.

BBerkaitan

Latest articles