Najib Bakal Jalani Prosedur Jantung, Keluarga Mohon Hormat Privasi

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual menjalani satu prosedur berkaitan jantung dalam masa terdekat, menurut peguamnya, Farhan Shafee.

Farhan mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media, namun enggan mendedahkan butiran lanjut termasuk tarikh dan lokasi rawatan atas permintaan keluarga Najib.

Menurutnya, keluarga bekas perdana menteri itu berharap orang ramai menghormati privasi mereka sepanjang proses rawatan berkenaan.

“Keluarga meminta agar privasi mereka dihormati. Kami akan memberikan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya memetik FMT.

Najib, 72, kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan dalam kes penyelewengan dana SRC International.

Tempoh hukuman itu dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.

Selain itu, beliau turut disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa serta pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang membawa hukuman penjara 15 tahun.

Hukuman bagi kes 1MDB itu akan mula berkuat kuasa selepas beliau selesai menjalani hukuman dalam kes SRC International.

Bagaimanapun, Najib telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Ini bukan kali pertama beliau menerima rawatan ketika berada dalam tahanan.

Pada September 2022, Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami masalah tekanan darah yang dilaporkan tidak stabil.

Ketika itu, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan bahawa Najib menerima layanan istimewa susulan tular mesej di media sosial yang mendakwa beliau akan dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras bagi memudahkan penggunaan kemudahan khas untuk tetamu kenamaan (VVIP).

BBerkaitan

Latest articles