ARAU: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan penyertaan tiga bekas wakil rakyat PAS dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu, sekiranya mereka kembali menduduki kerusi masing-masing sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.
Beliau berkata, peluang itu terbuka kepada Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dan Saad Seman (Chuping) yang keahliannya dalam PAS sebelum ini telah digugurkan.
Menurut Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, kerajaan negeri tidak menutup pintu kepada mana-mana ADUN Bebas untuk menyertai pentadbiran negeri demi membentuk barisan EXCO yang stabil dan berfungsi dengan baik.
Beliau berkata, sekiranya tiada pilihan raya kecil (PRK) diadakan dan ketiga-tiga bekas ADUN PAS itu kembali menyandang kerusi masing-masing, keputusan muktamad akan dibuat bagi membentuk pasukan pentadbiran yang lebih tersusun dan inklusif.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat minggu depan bagi menentukan pelaksanaan PRK bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dikosongkan, selepas notis rasmi kekosongan luar jangka diterima daripada Speaker DUN.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun mengesahkan pihaknya telah menerima pemakluman berhubung perkara tersebut hari ini.
Mengulas mengenai pembentukan EXCO baharu, Abu Bakar berkata lantikan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu, selari dengan gesaan kepimpinan PAS supaya proses itu dipercepatkan.
Terdahulu, PAS memutuskan untuk tidak menganggotai barisan EXCO kerajaan negeri yang akan dibentuk, malah semua EXCO sedia ada daripada parti itu akan melepaskan jawatan sebagai tanda solidariti terhadap peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Sementara itu, Abu Bakar mengakui beliau tiada pilihan lain selain melantik empat ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk membentuk EXCO negeri, memandangkan parti itu kini memiliki lima kerusi DUN di Perlis.
Beliau yakin jumlah minimum itu mencukupi berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, yang menetapkan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah ADUN diperlukan bagi membentuk barisan EXCO, sekali gus membolehkan pentadbiran negeri diteruskan tanpa halangan.










