KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan pendirian tegas untuk tidak berkompromi dalam usaha membanteras rasuah, tanpa mengira sama ada melibatkan pihak lawan mahupun rakan sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan berterusan akan diambil bagi mengekang amalan itu demi melindungi kepentingan negara serta memastikan wang awam diurus dan dimanfaatkan secara berhemah untuk kesejahteraan rakyat.
Menurut Anwar, kerajaan tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau ugutan dalam menangani gejala rasuah yang disifatkan sebagai antara punca utama kerosakan sistem dan tatakelola negara.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas hari ini, sambil memaklumkan bahawa perkembangan terkini siasatan kes rasuah melibatkan ahli politik, pegawai tertinggi kerajaan serta anggota tentera telah dipersemba kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Istana Pasir Pelangi, Johor.
Perdana Menteri turut mengakui masih wujud segelintir individu yang terperangkap dengan budaya kerja lama yang tidak sihat, meskipun kerajaan kini memberi penekanan serius terhadap aspek tatakelola, integriti dan kebajikan.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang bekas menteri berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan pemindahan tanah kerajaan bernilai tinggi kepada pemaju hartanah terkemuka sebelum era pandemik Covid-19.
Selain itu, SPRM juga menjalankan siasatan terhadap seorang pegawai kanan Tentera Darat berhubung dakwaan rasuah dalam perolehan projek melalui tender terbuka di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk membersihkan semua lapisan pentadbiran daripada amalan rasuah.










