KUALA SELANGOR, YTL Group merasmikan YTL Museum di kediaman asal keluarga Yeoh di Kuala Selangor, simbolik kepada tempat bermulanya perjalanan YTL pada tahun 1955.
Perasmian muzium tersebut turut menandakan pengenalan YTL Founders’ Day, sambutan tahunan baharu yang akan diraikan pada 18 Disember setiap tahun, bersempena hari lahir mendiang Tan Sri Yeoh Tiong Lay, pengasas YTL Group.
Acara dwi-milestone ini diraikan pada 18 Disember lalu yang sekali gus melengkapkan kemuncak sambutan ulang tahun 70 tahun YTL Group yang bermula sebagai syarikat pembinaan kecil sebelum berkembang menjadi kumpulan infrastruktur dan AI-infrastruktur global yang terkemuka.
Pengerusi Eksekutif YTL Group, Tan Sri (Sir) Francis Yeoh, berkata muzium berkenaan dibangunkan sebagai “living museum” yang menghubungkan generasi terdahulu, semasa dan akan datang melalui penceritaan digital, visual, dan koleksi memorabilia keluarga.
“YTL Museum berdiri di tanah tempat mendiang bapa saya membesar. Ia bukan sekadar ruang pameran, tetapi pusat menghidupkan nilai dan prinsip yang menjadi tunjang keluarga dan syarikat,” katanya.
Beliau menambah, Founders’ Day mengingatkan seluruh warga YTL bahawa kejayaan perniagaan datang bersama tanggungjawab sosial untuk menyumbang semula kepada komuniti dan alam sekitar.
Dalam sambutan Founders’ Day 2025, rangkaian perniagaan YTL di Malaysia dan rantau Asia turut melaksanakan program komuniti meliputi pendidikan, kelestarian alam, keterangkuman sosial dan kebajikan setempat.
Antara impak kolektif inisiatif tersebut termasuk RM1.4 juta pelaburan untuk komuniti dan alam sekitar dimana 2,100 keluarga menerima manfaat, 520 pekerja digerakkan sebagai sukarelawan, 5,000+ jam sumbangan tenaga sukarelawan serta 105,000 kilogram sisa berjaya dikitar semula dikitar semula
Muzium baharu ini dibuka kepada umum sebagai tanda komitmen YTL untuk memastikan legasi “Building The Right Thing” terus menjadi budaya dan amalan syarikat, selaras aspirasi masa depan Beyond 70.
YTL Corporation Berhad kini memiliki portfolio infrastruktur kritikal merangkumi penjanaan tenaga, air dan utiliti, simen dan pembinaan, telekomunikasi, pusat data, infrastruktur digital, hartanah dan hospitaliti.










