BN Sabah Tampil Bekas Calon Bebas di Lamag, Naim Di Parlimen Kinabatangan

KOTA KINABALU, Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan bahawa perkembangan politik melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan perlu ditangani secara matang, strategik dan berhemah, dengan keutamaan mutlak diberikan kepada kepentingan rakyat.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata BN Sabah melihat kepentingan memperkukuh kepimpinan pelapis serta membina naratif politik yang inklusif dan menyatukan, khususnya dalam kalangan pengundi muda, sebagai faktor penting bagi memastikan perjuangan parti terus relevan dan stabil dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar.

Menurut beliau, Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar, adalah antara figura kepimpinan muda yang mempunyai legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi dan keupayaan menyampaikan aspirasi rakyat di peringkat lapangan.

“Bagaimanapun, memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru sahaja selesai, BN Sabah memilih pendekatan calon perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag demi mengurangkan konflik, membina konsensus dan menjadikan kestabilan sebagai asas pembangunan jangka panjang negeri,” katanya.

Beliau berkata BN Sabah akan mencalonkan Mohd Ismail Haji Ayob sebagai calon perpaduan mewakili BN melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) Barisan Nasional, sebagai strategi berasaskan institusi untuk memperkukuh kerjasama politik, merapatkan jurang serta memastikan agenda pembangunan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan ketidaktentuan politik.

Datuk Jafry turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas panduan memperkukuh kerjasama politik, selain menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas komitmen memastikan keharmonian dan kelangsungan pentadbiran negeri.

BN Sabah, katanya, menghormati perbezaan pandangan semua pihak dan mengakui ia lumrah dalam demokrasi, namun menegaskan perbezaan itu perlu diurus secara bertanggungjawab, berinstitusi dan matang demi menjaga kestabilan serta kepentingan rakyat Sabah.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera akar umbi BN atas disiplin, komitmen dan semangat kebersamaan dalam memastikan keharmonian sosial serta momentum kemajuan Sabah terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles