KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peletakan jawatannya, menyusul pengumuman sama yang dibuat Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan, Azmin turut memaklumkan beliau turut melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Terdahulu, Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad menggesa Azmin meletakkan jawatan Setiausaha Agung PN kerana jawatan itu dipilih oleh Pengerusi PN.
“Sekiranya Pengerusi lepas jawatan, maka Setiausaha Agung juga patut lepas jawatan kerana Setiausaha Agung dipilih oleh Pengerusi,” katanya ringkas menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.
Keputusan itu dipercayai berkait kemelut politik di Perlis yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Pas termasuk mencadangkan supaya Pas meninggalkan PN.










