PRN Perlis: PH Dalam “Bahaya”, Kerusi Tunggal Tidak Akan Selamat

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) berdepan risiko besar sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Perlis diadakan dalam masa terdekat, susulan krisis politik yang sedang melanda negeri itu, kata bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, satu-satunya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PH di Perlis, Indera Kayangan, kini berada dalam keadaan tidak selamat berdasarkan trend sokongan pengundi mutakhir.

Beliau menjelaskan, dapatan itu dibuat hasil analisis keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada 29 November lalu, walaupun kawasan berkenaan mempunyai komposisi pengundi kira-kira 60 peratus Melayu dan 40 peratus bukan Melayu.

“Ketidakpuasan hati pengundi di Semenanjung sebenarnya lebih ketara berbanding Sabah. Jika sentimen pengundi Cina sama seperti di Sabah dan kadar keluar mengundi sekitar 40 peratus, PH mungkin hanya memperoleh 50 hingga 60 peratus undi kumpulan itu,” katanya.

Menurut Rafizi, senario berkenaan meletakkan Indera Kayangan dalam zon bahaya dan tidak lagi boleh dianggap sebagai kubu selamat PH.

Beliau berkata demikian menerusi audio siar Yang Berhenti Menteri, malam tadi.

Situasi politik Perlis semakin meruncing susulan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Presiden Pas, Tan Sri Tuan Abdul Hadi Awang sebelum ini meluahkan kekecewaan terhadap perkembangan itu, dengan menyifatkannya bertentangan semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN).

Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, menegaskan walaupun Pas tidak menyalahkan Bersatu secara keseluruhan, tindakan lima ADUN terbabit jelas bercanggah dengan asas kebersamaan yang dibina dalam gabungan tersebut.

Krisis itu memuncak apabila Mohd Shukri, ADUN Sanglang, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan.

Beliau sebelum itu mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Mohd Shukri merupakan Menteri Besar Perlis ke-11 dan mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin pertama daripada Perikatan Nasional yang berjaya mengambil alih pentadbiran negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) selepas 65 tahun, sejak dilantik pada 22 November 2022.

Mengulas implikasi lebih luas terhadap landskap politik negara, Rafizi berpandangan UMNO berpotensi menjadi pihak yang paling mendapat manfaat sekiranya perpecahan dalam PN berterusan, memandangkan hampir 40 peratus pengundi Pas-Bersatu merupakan bekas penyokong UMNO.

“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum mempunyai strategi kukuh untuk memperkuat sokongan di bandar, dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan penyokong asal PH, pengundi PN tidak akan beralih kepada PH walaupun gabungan itu sedang bergolak,” katanya.

Tambah Rafizi, kebangkitan semula UMNO bergantung kepada keupayaan parti itu mengurus isu-isu sensitif secara berhemah, termasuk kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

BBerkaitan

Latest articles