PUNCAK ALAM: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi bayangan kuat bahawa perkhidmatannya di agensi itu tidak akan disambung tahun hadapan selepas kontraknya berakhir.
Bercakap pada program SPRM–UiTM 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Azam mendedahkan jawatannya telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum ini dan mengakui terdapat pihak yang tidak senang dengan sambungan tersebut, termasuk bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Sesiapa yang menggantikan saya nanti… Insya-Allah, tahun depan saya tamat perkhidmatan. Tiga kali sambung pun orang dah tak suka. Rafizi pun kata jangan sambung Azam Baki,” katanya.
Hadir sama pada program itu ialah Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
Kenyataan Azam itu hadir beberapa hari selepas Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, menggesa kepimpinan Pakatan Harapan agar tidak menyambung kontraknya sebagai ketua pesuruhjaya.
Rafizi sebelum ini berhujah bahawa pentadbiran kerajaan perlu melakukan rombakan dalam institusi antirasuah untuk memulihkan keyakinan rakyat, terutama selepas kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Menurut Rafizi, isu integriti dan kelembapan usaha reformasi merupakan antara faktor yang menyumbang kepada penolakan pengundi terhadap kerajaan pada 29 November lalu.
Azam bagaimanapun menegaskan bahawa soal kedudukannya bukan keutamaan, sebaliknya beliau lebih menekankan keperluan untuk meneruskan agenda peningkatan integriti serta penguatkuasaan undang-undang rasuah secara tegas, tanpa gentar dan tanpa pilih kasih.
“Tak penting siapa duduk di kerusi ini. Yang penting, pengganti nanti teruskan agenda integriti dan tadbir urus,” katanya.










