Larian Solidariti 290KM Gesa Kerajaan Beri Perhatian Kepada Tiga Gajah Malaysia Di Jepun

TAIPING – Sekretariat Solidariti Bersama DAK akan menganjurkan Larian Solidariti Bersama DAK sejauh 290 kilometer selama enam hari bermula 17 Jun ini bagi menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap nasib tiga ekor gajah Malaysia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun.

Larian solo itu akan disertai oleh Neow Choo Seong yang akan merentasi Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum menamatkan larian di bangunan Parlimen pada 22 Jun, bersempena hari pertama persidangan Dewan Rakyat.

Menurut sekretariat berkenaan, inisiatif itu bertujuan menzahirkan solidariti serta menggesa pihak kerajaan dan pihak berkepentingan mengambil tindakan terhadap kebajikan ketiga-tiga gajah tersebut.

Sepanjang larian, Neow dijadual mengadakan sesi pertemuan bersama masyarakat di setiap hentian bagi meningkatkan kesedaran mengenai usaha memperjuangkan kebajikan haiwan berkenaan.

“Larian ini bukan sekadar aktiviti fizikal, malah satu bentuk gesaan agar Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang ke tanah air.

“Masa semakin suntuk. Keadaan kesihatan Dara, Amoi dan Kelat sejak dibawa ke Jepun pada 11 Mac 2026 semakin lama dilihat semakin merosot dan isu ini perlu dibahaskan segera dalam Dewan Rakyat.

“Saya menyeru sokongan rakyat Malaysia agar bersama-sama memberikan perhatian terhadap perjuangan ini bagi memastikan kebajikan haiwan ikonik negara kita ini sentiasa terjaga,” kata Neow dalam kenyataan itu.

Sebagai kemuncak program, satu petisyen akan diserahkan di hadapan pintu masuk utama bangunan Parlimen kepada Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, untuk dibawa dan disuarakan dalam Dewan Rakyat.

Sekretariat Solidariti Bersama DAK berharap larian berkenaan dapat membuka ruang kepada perbincangan yang lebih konstruktif antara kerajaan Malaysia dan pihak Zoo Tennoji demi masa depan Dara, Amoi dan Kelat.

BBerkaitan

Latest articles