KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Disember bagi membincangkan perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan (P.187) dan DUN Lamag (N.58) susulan kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi itu.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 8 Disember, manakala notis kekosongan DUN Lamag diserahkan Speaker DUN Sabah hari ini.
Jelasnya, berdasarkan ketetapan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah, kedua-dua kerusi itu perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan disahkan.
Mesyuarat khas yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, akan menetapkan tarikh penamaan calon, pengundian, writ pilihan raya serta persiapan logistik.
Sidang media turut dijadualkan selepas mesyuarat untuk mengumumkan garis masa rasmi PRK.
Dua kerusi itu dijangka menjadi tumpuan politik Sabah susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.










