KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sambil menyifatkan Allahyarham sebagai sosok penting yang jasanya kepada rakyat Sabah dan negara akan terus hidup dalam ingatan.
Anwar berkata, kehilangan Bung Moktar bukan sahaja dirasai dunia politik, tetapi turut menyentuh hatinya sebagai seorang sahabat lama yang mengenali ketegasan, keberanian dan pendirian teguh Allahyarham dalam memperjuangkan hak rakyat.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham… beliau seorang tokoh yang tidak pernah berkompromi dalam membela kepentingan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut Perdana Menteri, pemergian Bung Moktar meninggalkan kekosongan besar dalam kepimpinan Sabah, namun legasi perjuangannya akan terus menjadi ingatan ramai.
Beliau turut mendoakan agar keluarga diberi kekuatan menghadapi ujian berat itu dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
Bung Moktar, yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah dan ADUN Lamag, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.20 pagi tadi di sebuah hospital di Kota Kinabalu akibat kegagalan buah pinggang serta jangkitan paru-paru.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas selepas solat Jumaat.










