Advancecon Menang Adjudikasi, Peroleh Bayaran RM3.33 Juta Daripada Kontraktor ECRL

KUALA LUMPUR: Advancecon Holdings Berhad hari ini mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Advancecon Infra Sdn. Bhd. (AISB), sekali lagi meraih kemenangan dalam proses adjudikasi apabila Adjudikator memutuskan sepenuhnya memihak kepada syarikat itu terhadap China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC).

Dalam keputusan yang bertarikh 2 Disember 2025, adjudikator menetapkan bahawa CCC wajib membayar RM3.33 juta kepada AISB, bersama faedah 5% setahun bermula 4 September 2025 sehingga bayaran penuh diselesaikan.

CCC turut diarahkan menanggung kos adjudikasi sebanyak RM100,000, selain membayar semua yuran adjudikator, yuran Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) dan menggantikan semula jumlah yang didahulukan AISB sepanjang proses tersebut.

Advancecon memaklumkan bahawa keputusan di bawah Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012) itu adalah mengikat selagi tidak diketepikan oleh Mahkamah Tinggi.

Kemenangan ini hadir hanya dua bulan selepas AISB memperoleh keputusan adjudikasi lain pada 7 Oktober 2025, di mana syarikat itu berjaya menuntut kira-kira RM7.04 juta dalam pertikaian berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Secara keseluruhan, kedua-dua keputusan tersebut menegaskan hak kontrak AISB dan komitmen Advancecon dalam memastikan kerja-kerja yang telah disiapkan di bawah projek infrastruktur nasional diberi ganjaran sewajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Dato’ Phum Ang Kia, berkata kejayaan kedua itu membuktikan keteguhan tuntutan kontrak syarikat dan kepentingan tadbir urus yang kukuh dalam setiap pelaksanaan projek.

“Walaupun impak kewangan terhadap tahun kewangan 2025 tidak material, keputusan ini menegaskan hak kami untuk menerima pembayaran tepat pada masanya bagi kerja yang telah siap. Kumpulan akan terus menumpukan usaha kepada pelaksanaan projek dengan disiplin sambil melindungi hak komersial kami,” katanya.

Advancecon turut memaklumkan bahawa pihaknya akan memantau perkembangan selepas keputusan itu dan akan membuat pengumuman seterusnya mengikut keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles