KUALA LUMPUR: Di era semua individu mampu memiliki gajet peribadi, isu eksploitasi bahan lucah kanak-kanak (CSAM) semakin membimbangkan.
Malah ia berlaku lebih dekat – bahkan lebih membimbangkan daripada yang kita sangka.
Apatah lagi telefon atau tablet yang boleh dikatakan kerap di tangan anak-anak, yang sering tanpa pemantauan ibu bapa, kandungan terlarang ini mudah tersebar terutama pada waktu malam atau ketika kanak-kanak bebas menggunakan peranti di dalam bilik sendiri.
Pempengaruh, Sarancak, berpandangan golongan bawah umur ini sering menjadi sasaran paling mudah kerana mereka berada pada usia yang belum mampu membezakan mana perkara normal dan mana yang sudah melampaui batas.
Situasinya menjadi lebih rumit kerana kanak-kanak berada dalam fasa ingin tahu.
Apabila mereka terjumpa dan terlihat kandungan yang tidak mungkin muncul di televisyen atau media arus perdana, rasa ‘thrill’ dan ingin tahu itu mendorong mereka untuk melihat lebih banyak.
Malah Sarancak juga percaya tanpa adanya bimbingan moral, sosial dan agama yang kukuh, ia membuka ruang kepada “ketagihan” – dan di sinilah bahaya bermula.
Malah kesan kepada psikologi pula boleh kekal seumur hidup, sekali terdedah, imej dan kandungan itu boleh ‘melekat’, membentuk tanggapan salah bahawa ia perkara normal.
Berkongsi pandangannya, Sarancak menjelaskan bahawa langkah pencegahan paling berkesan ialah pemantauan penggunaan peranti dengan tegas tetapi berhemah.
“Telefon dan tablet sebaiknya digunakan di ruang terbuka seperti ruang tamu dan bukan dalam bilik tertutup.
“Ibu bapa juga digalakkan melakukan pemeriksaan mingguan dengan melakukan semakan sejarah pelayaran, lihat mesej, dan berbual terbuka tentang apa yang mereka tonton dan siapa yang mereka hubungi.
“Perbualan ‘sukar’ tentang keselamatan digital mungkin tidak menyenangkan, tetapi ia sangat perlu,” kata Sarancak.
Sebahagian pihak turut mencadangkan agar umur minimum penggunaan media sosial dinaikkan kepada 16 tahun.
Pada usia itu, kebanyakan remaja sudah lebih matang dan mampu memahami beza yang betul dan salah.
Walaupun ini bukan penyelesaian mutlak, ia sekurang-kurangnya mengurangkan risiko pendedahan awal yang boleh merosakkan perkembangan mental mereka.
Apa pun langkahnya, satu perkara jelas, isu ini bukan boleh ditangani oleh pihak berkuasa sahaja.
“Kesedaran perlu terus dibincangkan di platform awam, dikongsi dalam komuniti, dan yang paling penting, dipraktikkan sendiri oleh ibu bapa.
“Ia mungkin sukar, tetapi keselamatan digital anak-anak kita bukan sesuatu yang boleh dikompromi. Kita cuba sama-sama, sebelum terlambat,” katanya lagi.










