Pengeluaran Tunai Antara Bank Percuma Mulai Julai, Caj RM1 Dimansuhkan

KUALA LUMPUR: Pelanggan bank di seluruh negara bakal menikmati kemudahan pengeluaran tunai tanpa sebarang caj di mana-mana mesin teler automatik (ATM) dan mesin kitar semula pintar (SRM) bermula 1 Julai 2026.

Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan bersama oleh Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) hari ini.

Melalui langkah baharu itu, pemegang kad debit boleh mengeluarkan wang tunai di lebih 14,000 ATM dan SRM yang dikendalikan bank-bank tempatan tanpa perlu membayar caj RM1 yang sebelum ini dikenakan bagi transaksi antara bank.

Kemudahan tersebut turut ditawarkan tanpa had penggunaan.

Menurut ketiga-tiga persatuan berkenaan, pelaksanaan inisiatif itu dijayakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) sebagai sebahagian usaha memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mesra pengguna, inklusif dan mampu dinikmati semua lapisan masyarakat.

Mereka menjelaskan bahawa wang tunai masih memainkan peranan penting dalam urusan harian ramai rakyat Malaysia.

Oleh itu, pemansuhan caj pengeluaran tunai antara bank dilihat mampu mengurangkan kos perbelanjaan pengguna selain memastikan akses kepada wang tunai kekal mudah dan boleh dipercayai.

Katanya, langkah tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih praktikal serta berorientasikan keperluan pelanggan, khususnya dalam memperkukuh keterangkuman kewangan negara.

Dalam masa sama, sektor perbankan menyambut baik pertumbuhan penggunaan kaedah pembayaran digital dan tanpa tunai yang semakin meluas.

Seiring perkembangan ekonomi digital negara, bank-bank akan terus mempertingkatkan penyelesaian pembayaran elektronik yang selamat, lancar dan mudah digunakan.

ABM, AIBIM dan ADFIM menegaskan bahawa industri perbankan kekal komited memberikan kebebasan kepada pelanggan untuk memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan masing-masing, sambil terus meningkatkan pengalaman perbankan secara menyeluruh untuk rakyat Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles