BATU PAHAT: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas dua pertuduhan membabitkan perbuatan tidak senonoh dan kelucahan melampau terhadap ibu kandungnya sendiri.
Memetik laporan BH, perbuatan itu dibuat tertuduh sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja itu didakwa mengaibkan kehormatan ibunya yang berusia 43 tahun dengan mengeluarkan kata-kata berbaur lucah serta meminta wanita terbabit melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya.
Kejadian didakwa berlaku di sebuah rumah dalam daerah ini pada kira-kira jam 5 petang, 1 Jun lalu.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut mengaku bersalah atas kesalahan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap mangsa pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun.
Mengikut fakta kes, remaja berkenaan dipercayai menonton bahan lucah di bilik tidurnya sebelum bertindak mencari ibunya yang ketika itu sedang mandi.
Dia kemudian mengetuk pintu bilik air dan meminta wanita terbabit membukanya.
Sebaik pintu dibuka, mangsa dikatakan terkejut apabila mendapati anaknya telah melondehkan seluar sehingga menampakkan kemaluan serta mengeluarkan permintaan tidak senonoh.
Wanita itu segera masuk semula ke dalam bilik air dan mengunci pintu kerana bimbang dengan tindakan anaknya.
Susulan kejadian tersebut, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sebelum siasatan dijalankan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos depan untuk pembentangan laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta kes serta keputusan hukuman.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,500, namun gagal menjelaskan jumlah tersebut dan dihantar ke Pusat Koreksional Muar bagi menjalani tahanan sementara.










