Kerajaan Sabah Baharu Terbentuk: GRS, UPKO, BN, PH Sertai Kabinet

KOTA KINABALU: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet Sabah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, dalam satu istiadat di Istana Seri Kinabalu.

Mereka terdiri daripada tujuh ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta masing-masing seorang wakil daripada Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Mendahului senarai ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, yang juga ADUN Kundasang.

Turut mengangkat sumpah ialah Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun (ADUN Karanaan), dan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick (ADUN Kadamaian).

Barisan GRS turut disertai Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (ADUN Membakut), Datuk Rubin Balang (ADUN Kemabong), Ketua Penerangan PGRS Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (ADUN Apas) serta Ketua Bahagian PGRS Sugut, Datuk James Ratib (ADUN Sugut).

Dua lagi yang turut mengangkat sumpah ialah Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Mojungki (ADUN Matunggong), Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin (ADUN Sukau) serta ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar dari PH.

Upacara itu berlangsung sehari selepas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-17 Sabah.

Dengan pelantikan ini, Kabinet baharu Sabah merangkumi lapan wakil GRS iaitu Hajiji, Joachim, Masidi, Mohd Arifin, James, Nizam, Rubin dan Julita; manakala Ewon (UPKO), Jafry (BN) dan Jamawi (PH) melengkapkan senarai.

Dalam keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, GRS muncul blok terbesar dengan 29 kerusi, diikuti Warisan (25), BN (6), Bebas (5), UPKO (3), STAR (2), manakala Perikatan Nasional, PKDM dan PH masing-masing memenangi satu kerusi.

— BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles