BATU PAHAT: Seorang guru sekolah agama direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan.
Perintah reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A. Rahman, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurut laporan yang diterima, kejadian berlaku dalam dua insiden berasingan sejak 2023 dan tahun lalu.
Suspek, 29 tahun, dipercayai meminta mangsa menutup mata menggunakan sapu tangan sebagai sebahagian daripada “hukuman” kerana menumpahkan makanan di atas meja sebelum mengarahkan mereka menanggalkan sebahagian pakaian.
Salah seorang mangsa turut mendakwa kejadian yang sama pernah berulang beberapa kali apabila suspek memanggilnya masuk ke dalam kelas tanpa kehadiran murid lain.
Susulan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat) semalam, polis menahan suspek pada hari yang sama untuk siasatan.
Polis memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi memastikan perlindungan mangsa dan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu terlibat.










