PRN Sabah: Peratusan Kehadiran Pengundian Awal Cecah 92.5%

KOTA KINABALU: Hari pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menyaksikan seramai 17,615 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka hari ini, dengan peratusan keluar mengundi mencecah 92.5%, antara yang tertinggi direkodkan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khairul Shahril Idrus, berkata kumpulan pengundi awal itu terdiri daripada anggota tentera bersama pasangan, serta anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka.

Proses pengundian awal bermula jam 8 pagi di 58 pusat mengundi seluruh Sabah, sebelum ditutup sepenuhnya pada 5 petang.

Daripada jumlah tersebut, 8,347 adalah anggota tentera dan pasangan manakala 10,696 terdiri daripada anggota polis serta pasangan.

“SPR merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan petugas pilihan raya yang melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul Shahril turut menyampaikan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, pihak polis, tentera, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan proses pengundian awal berjalan lancar.

Pengundian bagi hari biasa PRN Sabah pula dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

BBerkaitan

Latest articles