PETALING JAYA: Mahkamah Majistret hari ini membenarkan permohonan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk menambah tempoh sebulan lagi bagi melengkapkan laporan psikiatri seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Damansara Utama pada 14 Oktober lalu.
Remaja berusia 14 tahun itu tidak dibawa ke mahkamah kerana masih menerima rawatan psikiatri di hospital berkenaan.
Peguam bela baharu, Kitson Foong, memberitahu pemberita bahawa penilaian tersebut merupakan komponen wajib sebelum sebarang tindakan lanjut dilakukan terhadap anak guamnya.
“Pakar psikiatri memerlukan tambahan masa untuk menyiapkan laporan dan mahkamah membenarkannya mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” jelasnya.
Menurut Foong, laporan itu penting bagi menilai sama ada tertuduh cukup cergas untuk membuat pengakuan dan melalui perbicaraan pada masa akan datang.
“Penilaian ini kritikal, ia menentukan kecergasan mental semasa prosiding, dan keadaan minda ketika kejadian juga faktor utama dalam mana-mana kes juvana,” katanya.
Beliau menegaskan lanjutan itu bukan penangguhan sengaja, sebaliknya menunjukkan keseriusan mahkamah memastikan proses yang teliti dan adil.
“Kita faham pakar psikiatri menguruskan ramai pesakit. Kesediaan setiap pesakit perlu dinilai sebelum sesi temuduga boleh berjalan,” ujarnya.
Keluarga tertuduh, katanya, memberikan kerjasama penuh sekali gus membantu mempercepatkan penyediaan laporan tersebut.
Foong turut mendedahkan bahawa setakat ini hanya kertas pertuduhan diterima daripada pihak pendakwaan.
“Di bawah Seksyen 51A, semua bahan mesti diserahkan sebelum tarikh perbicaraan. Kami berharap ada dokumen tambahan pada sebutan seterusnya supaya kami boleh tahu barang bukti yang ada,” katanya.
Tertuduh kini berada dalam keadaan fizikal baik dan masih dirawat sepenuhnya di hospital.
Mahkamah menetapkan 19 Disember sebagai tarikh sebutan seterusnya untuk mendapatkan laporan psikiatri tersebut.
Pelajar Tingkatan 1 (Peralihan) itu didakwa membunuh mangsa di tandas perempuan sekolah tersebut antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, namun bagi pesalah juvana, hukuman maksimum adalah penjara hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.
Sebelum ini, laporan menyebut mangsa ditemui dalam keadaan parah di tandas sebelum disahkan meninggal dunia, manakala polis merampas dua senjata tajam dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.
Ibu mangsa mendakwa anaknya ditikam lebih 200 kali, menjadikan insiden itu antara kes serangan sekolah paling ngeri pernah dilaporkan di Malaysia.










