KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, membidas tema manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk PRN-17 Sabah yang menggunakan slogan ‘Kasi Bagus Sabah’, dengan sinis mempersoalkan keupayaan gabungan itu memperbaiki Sabah sedangkan negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka sendiri masih berdepan pelbagai isu.
Menurut Mohd Puad, empat negeri yang diterajui pembangkang iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang sering digelar SG4 tidak menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan.
“Sudah lama Kelantan dan Terengganu diperintah. Apa yang bagusnya? Kes jenayah menurun? Apa kejayaan ekonomi SG4 selepas melantik Tun M sebagai penasihat ekonomi?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.
Tegas beliau, PN tidak perlu beretorik di Sabah ketika rekod pentadbiran mereka sendiri masih menjadi tanda tanya.
“Tak payah beretorik. Bagi bagus parti Bersatu dulu… lagi bagus,” sindirnya.
PN dijadualkan melancarkan manifesto PRN-17 pada malam ini di Dataran Pomoi, Putatan, dengan membawa tawaran 12 tunjang utama bagi membentuk Sabah yang dikatakan lebih bersih, stabil dan sejahtera.










