Hampir 17,000 Remaja Hamil Luar Nikah Dari Tahun 2020 – 2024

PUTRAJAYA: Lebih 16,951 remaja perempuan berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin direkodkan hamil dalam tempoh empat tahun, menurut data terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi 2020 hingga 2024.

Pendedahan itu dibuat oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, yang menyifatkan angka tersebut sebagai satu amaran jelas mengenai keperluan tindakan holistik bagi membendung kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja.

Nancy berkata, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan kementeriannya untuk menangani isu ini melalui pendekatan pendidikan, kaunseling dan pengukuhan komuniti.

Antara usaha utama adalah pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan reproduktif serta membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dan berdaya tahan.

“Pelan tindakan ini menekankan kemahiran kesihatan reproduktif yang selamat melalui pendidikan formal dan tidak formal. Ia juga dilaksanakan secara bersepadu antara beberapa kementerian melalui platform Majlis Sosial Negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Program PEKERTI turut diperluas ke peringkat komuniti dengan aktiviti promosi dan advokasi yang lebih agresif.

Selain itu, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memperkukuh khidmat sokongan remaja menerusi Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN.

“KafeTEEN menyediakan ruang bimbingan, pendidikan dan klinik kesihatan reproduktif serta kaunseling psikososial untuk membantu remaja membuat keputusan yang lebih sihat,” jelas Nancy.

Sehingga kini, terdapat 18 pusat KafeTEEN, termasuk satu Trak KafeTEEN yang bergerak ke lokasi komuniti, selain aktiviti di sekolah melalui 143 Kelab KafeTEEN dengan latihan peer educators yang mahir.

Nancy turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang bersiap sedia melancarkan Dasar Keluarga Negara serta Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu untuk memperkasa institusi keluarga, termasuk aspek perancangan keluarga yang lebih teratur.

“Isu kehamilan remaja luar nikah bukan sesuatu yang boleh dipikul oleh kerajaan sahaja. Semua pihak perlu berganding bahu demi masa depan generasi kita,” katanya.

Beliau menjawab soalan Mohd. Misbahul Munir Masduki (PH–Parit Buntar) yang meminta penjelasan mengenai jumlah kes hamil luar nikah mengikut kaum serta langkah penyelesaiannya.

Dengan angka yang terus meningkat, kerajaan berharap program pendidikan, pencegahan dan sokongan komuniti dapat mengurangkan risiko remaja berdepan kehamilan tidak dirancang demi memastikan generasi muda lebih terlindung dan berdaya tahan.

BBerkaitan

Latest articles