Razarudin Salur Duit Saman Papagomo Bantu Anak Polis Autisme

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussein, menunaikan janjinya untuk menyalurkan RM55,000, wang yang diterima hasil saman fitnah terhadap blogger kontroversi Papagomo kepada dua tabung kebajikan polis, termasuk sebuah pusat yang menjaga anak-anak autisme anggota PDRM.

Sumbangan itu diserahkan hari ini kepada Pusat Autisme Pengaman, sebuah pusat yang menampung lebih 50 kanak-kanak autisme serta mengupah 16 tenaga pengajar untuk sesi pagi dan petang.

Razarudin berkata pusat itu memerlukan kos operasi bulanan yang tinggi dan tidak menjana keuntungan.

“Setiap bulan kita terpaksa mengeluarkan kos yang besar. Dana ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban operasi Pusat Autisme Pengaman,” katanya ketika menyerahkan sumbangan kepada Persatuan Autisme PDRM.

Sebelum ini, beliau telah menyalurkan RM25,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis.

Sumbangan hari ini berjumlah RM30,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM55,000.

Razarudin menjelaskan bahawa wang itu datang daripada bayaran yang diperoleh menerusi saman fitnah terhadap Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang diperintah mahkamah membayar kos RM30,000 kepadanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari terhadap Papagomo selepas didapati menghina mahkamah dalam prosiding saman Razarudin.

Hukuman itu melibatkan 15 hari penjara kerana gagal mematuhi arahan memohon maaf dengan sempurna, dan 15 hari lagi selepas memuat naik video baharu yang dianggap tidak menunjukkan rasa kesal, yang kedua-duanya berjalan secara berasingan.

Kes saman fitnah berjumlah RM3 juta yang difailkan Razarudin pada 27 Disember tahun lalu masih berjalan dan dijangka selesai pada 2026.

Razarudin menegaskan bahawa saman itu bukan kerana kepentingan peribadi.

“Saya saman bukan sebab duit. Ini kerana kedudukan IGP tidak wajar difitnah. Jawatan itu institusi, bukan individu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa lebih banyak pihak tampil membantu pusat autisme yang sudah lima tahun beroperasi sebagai inisiatif kebajikan sosial.

“Kalau boleh, saya minta pusat autisme ini dibantu dan diangkat. Ramai anak-anak polis perlukan sokongan,” katanya.

Dengan sumbangan RM55,000 itu, Razarudin berharap lebih ramai pihak akan melihat kepentingan membantu anak-anak istimewa dalam komuniti polis yang terkesan dengan beban kewangan dan keperluan terapi harian.

BBerkaitan

Latest articles